Jom Kita Berkawan

Sunday, 4 January 2015

400 Anggota Kesihatan Bantu Mangsa Banjir Di Kelantan - Dr Subramaniam


MELAKA, 2 Jan (Bernama) -- Lebih 400 anggota dan kakitangan Kementerian Kesihatan (KKM) telah ditempatkan di Kelantan bagi memberi perkhidmatan perubatan dan kesihatan.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S Subramaniam berkata mereka meliputi doktor pakar, jururawat dan pegawai kesihatan.

"Kesemua mereka ditempatkan di beberapa hospital dan klinik kesihatan di seluruh Kelantan bagi memberi perkhidmatan kepada penduduk dan mereka diarahkan beroperasi sehingga jam 10 malam," katanya kepada pemberita selepas persidangan Hare Krishna Cina Sedunia di Pusat Seni dan Budaya Masyarakat India Krishna Balaram, Ayer Keroh hari ini.

Beliau berkata pihaknya juga akan menghantar tambahan 100 pegawai perubatan, 30 penolong pegawai perubatan dan 300 jururawat di Hospital Universiti Sains Malaysia.

Ia bagi menampung pertambahan pesakit berikutan perkhidmatan kesihatan dihentikan di Hospital Raja Perempuan Zainab II yang dinaiki air banjir pada 24 Dis lepas, katanya.

"Bagi membendung penyakit berjangkit akibat banjir, kita juga akan memastikan semua pengendali makanan mendapatkan suntikan anti tifoid kerana terdapat mangsa di pusat pemindahan yang cirit-cirit selepas membeli makanan dari luar," kata Dr Subramaniam.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata Kementerian Kesihatan sedang menjalankan proses menilai semula kos kerosakan peralatan dan bangunan milik kementerian bagi membolehkan kerja baik pulih dilakukan di klinik dan hospital terjejas.

Beliau berkata sehingga kini kira-kira 30 klinik di Kelantan tidak dapat beroperasi, namun hospital di Kuala Krai, Gua Musang dan Tanah Merah beroperasi semula menggunakan kemudahan sedia ada.

"Kita sedang menilai anggaran kos baik pulih yang ia mungkin membabitkan nilai yang besar kerana kita bukan sahaja kehilangan aset dan peralatan tetapi juga kerosakan bangunan yang jumlahnya dijangka diketahui dalam beberapa minggu lagi," katanya.



-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment