Jom Kita Berkawan

Saturday, 5 September 2015

Penambahbaikan 252 Skim Perkhidmatan

Cuepacs Mahu Kerajaan Beri Perhatian Terhadap Penambahbaikan 252 Skim Perkhidmatan


SANDAKAN, 1 Sept (Bernama) -- Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) mahu kerajaan memberi perhatian sewajarnya ke atas penambahbaikkan 252 skim perkhidmatan awam.

Timbalan Presidennya Zainal Ismail berkata pelaksanaan skim tersebut sepertimana diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada pembentangan Bajet 2015, merupakan harapan kepada 1.6 juta penjawat awam di negara ini.

Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Kepenggunaan dan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) di sini Selasa, Zainal berkata pihaknya juga memohon agar kerajaan mengkaji semula peruntukan bahagian pinjaman perumahan.

"Ini penting agar kakitangan awam dapat memiliki rumah sendiri melalui projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA). Kita juga harap kerajaan dapat mengurangkan harga rumah pada kadar RM150,000 ke bawah bagi keluasan 1,000 kaki persegi untuk keselesaan rakyat," katanya.

Sementara itu, beliau berkata kerajaan perlu memberi latihan kemahiran tinggi dan peluang pendidikan kepada penjawat awam bagi menghasilkan pekerja yang berkualiti.

Mengenai GST, Zainal berkata CUEPACS meminta agar empat golongan iaitu warga emas, orang kurang upaya, kanak-kanak dan kumpulan pelaksana yang berpendapatan kurang daripada RM5,000 dikecualikan daripada cukai itu.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment