Oleh NORIAH IDRIS
nori@mediaprima.com.my
  Bagi Azizah Ramlee, 56, mengabdikan diri selama 33 tahun sebagai jururawat memberi pengalaman tidak lekang di ingatan.
  Malah, Azizah sangat berbangga kerana bidang kejururawatan turut dianggap mulia dalam menaburkan bakti kepada masyarakat. 
  Bersara pada akhir 2012 kerana mahu ‘berehat’ tetapi dua bulan 
kemudian Azizah berdepan ujian apabila suaminya Mohd Fauzi Abdullah 
menghidap strok. Lalu Azizah sendiri yang menjaga dan merawat suaminya 
selama lapan bulan hingga menghembus nafas terakhir di sisinya.
 AZIZAH bangga dengan kerjayanya sebagai jururawat.
 
“Sepanjang persaraan, ada juga tetangga berjumpa saya meminta bantuan,
 terutama berkaitan perubatan seperti kehilangan kaki akibat kencing 
manis.
  “Pengalaman yang ada saya curahkan dengan melakukan rawatan awal (dressing) sebelum jiran saya itu ke hospital,” katanya. 
   Menurut Azizah, lebih membanggakan, pengalaman dalam bidang 
perubatan, terutama kejururawatan, turut mendapat perhatian anak 
keduanya yang kini bergelar pegawai perubatan siswazah dan bertugas di 
Hospital Kuala Lumpur (HKL).
  “Anak sulung, Faardian mengikut jejak saya kerana memperoleh sarjana 
dalam pengurusan pejabat dan kini bertugas di syarikat pembuatan sebagai
 pegawai tadbir dan perolehan.
   “Begitu juga anak ketiga, Faarzana, 21, penuntut di Fakulti 
Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Shah 
Alam.
  “Namun, saya tak pernah memaksa anak mengikuti bidang yang pernah saya
 ceburi. Saya percaya mereka ada minat tersendiri dan sebagai ibu, saya 
sekadar memberi galakan supaya mereka belajar bersungguh-sungguh bagi 
mengecapi impian,” katanya.
  Kini, Azizah berharap anak bongsu, Mohamad Faarhan, 11, dapat 
meneruskan legasinya kerana ada tanda menunjukkan anak itu cenderung 
mengetahui sesuatu berkaitan bidang perubatan.
  Pun begitu, Azizah tersentuh jiwa mengenangkan adiknya, Rosniza, 44, 
sudah beberapa tahun bertugas sebagai jururawat di Emiriah Arab Bersatu 
(UAE) dan kini di hospital Dubai.
  Begitu juga adik iparnya, Nor Maheran Abdullah, 43, adalah jururawat 
di Hospital Baling, Kedah dan sepupu suaminya, Masyuhaida Che Ayub, 24, 
adalah Pembantu Perubatan di Hospital Ipoh, Perak.
  Yang mengharukan, kata Azizah, kerjaya jururawat turut menambat dua 
anak saudara, Ainun Naim Zulkifli, 26, yang pernah menuntut di Kolej 
Kejururawatan Kuala Terengganu dan kini bertugas di Hospital Tengku 
Ampuan Rahimah (HTAR), Klang, Selangor.
  Manakala seorang lagi anak saudaranya, Nur Afthelyana binti Zolkeply, 
20, kini menjalani latihan pergigian di Pusat Pergigian Kanak-kanak dan 
Kolej Latihan Pergigian Malaysia di Pulau Pinang. 
  Bagi wanita ini, anak dan saudara mara mencintai bidang berkenaan, 
menyebabkan mereka layak digelar ‘keluarga perubatan’ kerana komitmen 
kerjaya itu menuntut kegigihan serta tanggungjawab menjaga dan merawat 
pesakit yang tidak ternilai harganya.
  Katanya, apabila berkumpul beramai-ramai, terutama dengan anak atau 
saudara-mara pada Aidilfitri misalnya, topik perbincangan berkisar 
pengalaman lucu dan sedih pesakit yang ditemui dan dia  turut menjadi 
tempat rujukan.
  Mengimbau kerjaya kejururawatan, dia tidak menafikan sepanjang tiga 
dekad bertugas di wad bersalin di pelbagai hospital termasuk HKL, 
Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang, Selangor dan Hospital 
Tumpat, Kelantan, banyak pengalaman pahit manis ditempuhinya.
  Dia tidak menafikan ada yang mengatakan kerjaya itu nampak senang, 
sedangkan hakikatnya terpaksa bekerja keras hinggakan pada hari raya 
harus bertugas walaupun orang lain gembira beraya bersama keluarga. 
  Pengalaman tidak dapat dilupakan wanita ini adalah ketika merawat 
seorang ibu hendak bersalin pada Ramadan dan pada masa sama, waktu 
berbuka sudah tiba.
  “Ketika itu saya dan dua lagi jururawat akan membantu bakal ibu hendak melahirkan bayi.
  “Saya pernah berdepan pengalaman ketika hendak berbuka puasa dan si 
ibu hendak bersalin, menyebabkan terpaksa meninggalkan makanan yang 
hendak disuap.
  “Saat membantu ibu itu bersalin, tiba-tiba air ketuban pecah dan saya tertelan air itu hinggakan tidak lalu makan. 
  “Namun itulah pengalaman yang harus ditempuh kerana lebih kurang 30 
minit selepas itu baru saya dapat berbuka puasa. Bila diingat kembali, 
ia menjadi bahan lucu dalam perbualan,” katanya.
  Namun, ada kalanya agak melucukan ketika membantu wanita hendak bersalin anak kedua yang gementar sepanjang di wad bersalin.
  “Seminggu selepas itu, kebetulan saya tidak bekerja dan wanita yang 
saya bantu itu bersama suaminya datang ke hospital memandu lori yang 
dipenuhi buah- buahan kerana hendak diberi kepada saya sebagai tanda 
terima kasih.
  “Apabila saya dihubungi hospital mengatakan wanita dan suaminya mahu 
berjumpa semata-mata hendak menyerahkan satu lori buah-buahan, 
menyebabkan saya terkejut.
   “Saya enggan menerimanya kerana terlalu banyak dan meminta pasangan 
itu memberi buah-buahan kepada semua kakitangan hospital. Walaupun dia 
sedikit kecewa tapi bila diterangkan kami tidak boleh terima rasuah, 
mereka memahaminya,” katanya.
  Azizah menyimpan kenangan manis sepanjang bertugas di Hospital Tumpat 
pada 1991 hingga 2012 kerana pada 1994 mendapat Anugerah Perkhidmatan 
Cemerlang dek komitmennya yang tidak berbelah bahagi pada tugas serta 
dikenali sebagai jururawat dedikasi.
INFO
NAMA: Azizah Ramlee
USIA: 56 tahun
ASAL: Pasir Mas, Kelantan
AKADEMIK: Sijil Latihan Jururawat 
KERJAYA: Pesara jururawat
STATUS: Ibu tunggal
ANAK: Faardian (30), Mohd Faarzali (28), Faarzana (21) dan Mohamad Faarhan (11)
 
SUMBER: HARIAN METRO